Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah,
Sambutan Maal Hijrah tahun ini jatuh pada 18 Disember 2009 bersamaan 1 Muharram 1431H. Hijrah dari lensa sejarah merupakan proses perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah. Perpindahan yang membawa kepada transformasi nilai, budaya dan etika pada sosok umat ketika itu. Transformasi umat daripada dibelenggu jahiliyah kepada ketuanan umat dan watan. Membebas dan memerdekakan identiti umat daripada terperangkap dengan semangat kekabilahan sempit kepada naungan keadilan Islam dan ketuanan bangsa yang mandiri, memiliki ciri-ciri al-hurriyah (kebebasan) dan jatidiri sebagai umat tonggak.
Justeru Hijrah bukanlah satu escapism (pelarian), bukan juga tanda kekalahan berdepan dengan realiti yang sedia ada tetapi ia adalah gerakan terancang daan strategik dalam memperkukuhkan sendi-sendi kekuatan umat dan negara. Hijrah bukan tanda ketakutan dan kelemahan organisasi (tanzim) bagi menghadapi kekuatan jahiliyah, sebaliknya ia adalah langkah praktikal dan taktikal yang dipandu oleh tarbiyah rabbaniyah dalam menyelusuri tapak-tapak ketuanan akidah, menjejaki tangga-tangga ketamadunan dan asas kepada perubahan yang total.
Sememangnya babak-babak hijrah dipenuhi dengan segala keringat perjuangan, selaut pengorbanan, titisan airmata dan darah demi menjadi batu-bata kepada binaan Islam dan daulah. Proses demi proses, tarbiyah demi tarbiyah, takween demi takween di tangan Sang Murabbi Ar-Rasul Muhammad SAW telah meledakkan satu perubahan dan pembaharuan. Melalui perancangan yang rapi, pemikiran yang strategik, perkaderan yang terperinci serta sifat jundiyah yang tinggi, Hijrah telah melestarikan satu momentum perubahan kepada masyarakat, negara dan dunia.
Seharusnya bersempena dengan kehadiran Maal Hijrah 1431H, seluruh umat Islam kembali semula menyegar dan membugar makna serta intipati Hijrah melalui pengkajian semula teks Fiqh Hijrah dalam dimensi baru untuk meneroka asas kegemilangan dan ketamadunan sebuah bangsa yang berdaulat. Hijrah tidak terhenti pada soal perubahan yang simplistik dan kosmetik tetapi perlu mengakar pada perubahan jiwa sehingga mencetuskan satu transformasi umat, membina front Islami yang kuat dan meruntuh semangat kekabilahan yang sempit. Teras kepada kejayaan misi Hijrah ini ialah keteguhan iman dan kekuatan daya akliah di dalam merancang dan meneroka satu kejayaan di samping didikan wahyu yang tidak putus-putus.
Hari ini umat Melayu berada di persimpangan, krisis demi krisis, peleburan identiti, ancaman liberalisasi, kuasa menjadi alat perebutan dan ketuanan bangsa yang semakin terhakis. Di dalam kita melaung-laungkan Melayu sebagai teras kekuatan bangsa dan negara, kita harus bermuhasabah sejauh manakah kita telah meletakkan nilai Islam sebagai solusi dan agenda perubahan tersebut. Sejauh manakah kita bermati-matian mempertaruhkan harga diri kita demi membina bangsa dan umat berdaulat. Sejauh manakah kita telah menggadai segala yang ada pada kita demi agama tercinta. Jangan kita terus beretorik dan tenggelam punca. Mari kita kutip semangat Hijrah dan kita lestarikan semula momentumnya.
Api perjuangan Hijrah tidak akan terpadam biarpun generasi awal Hijrah telah meninggalkan kita. Namun semangat dan momentumnya perlu dilestarikan di dalam kehidupan kita agar nasib dan masa depan umat dan negara sentiasa terpelihara.
Salam Maal Hijrah 1431H.
(Dipetik dari ikatan muslimin malaysia)
No comments:
Post a Comment