‘Sedang lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Selama mana pun anda menjalin hubungan dengan pasangan sebelum berkhawin, itu bukan bererti anda sudah benar-benar mengenalinya. Kerana itu tidak hariranlah apabila berlaku juga pertengkaran atau perselisihan faham selepas berkahwin.
Dalam sesebuah perkahwinan, jika tidak pernah berlaku pertengkaran itu menandakan matinya emosi. Namun bukan bererti pertengkaran itu bagus. Dia tetap ada baik dan buruknya. Apabila ada sesuatu yang tidak diingini pada pasangan, akan berlakulah pertengkaran. Ini berlaku dengan harapan perkara yang tidak baik pada pasangan itu akan hilang.
Pertengkaran sebenarnya suatu proses di mana pasangan suami isteri itu mulai cuba untuk menyatukan cita rasa, tujuan, keinginan dan cara hidup mereka. Untuk proses tersebut, setiap pasangan perlu berbincang dan meluahkan isi hati. Dalam proses itu, tidak mustahil jika berlaku pertengkaran.
Tidak dinafikan, ada yang enggan berbincang kerana takut berlaku pertengkaran. Mereka lebih rela memendamkan saja perasaan dan berharap segalanya akan berubah menjadi lebih baik suatu hari nanti. Lalu hari-hari mendatang dilalui dengan perasaan yang terpendam. Sedangkan pasangannya, langsung tidak tahu apa yang terpendam dalam hati pasangannya.
TIP KETIKA BERTENGKAR
1. Jangan sesekali mencari atau mengungkit kelemahan pasangan. Tujuan pertengkaran itu hanya untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan ingin mencari jalan penyelesaiannya. Bukan mencari kemenangan.
2. Tumpuan hendaklah hanya kepada pokok permasalahan bukan hingga meleret-leret kepada perkara yang tidak berkenaan. Kerana cara ini akan menjurus kepada pertengkaran besar.
3. Jangan sesekali menggunakan kata nama ‘kau’ atau ‘aku’, sebaliknya gunakan nama yang selalu digunakan. Jika anda selalu memanggil pasangan dengan panggilan ‘sayang’, terus gunakan panggilan tersebut.
4. Elakkan daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang kesat dan menyakitkan. Seperti ‘kau memang bodoh’, ‘ini semua salah engkau’ dan sebaginya. Sebaliknya, gunakan perkataan yang lebih lembut seperti ‘abang tidak seharusnya melakukan perkara itu’ atau ‘abang tidak rasa, tindakan sayang itu betul’ atau ‘maaf, saya tidak rasa keputusan abang itu tepat. Abang seharusnya…..’
5. Jangan sesekali bertengkar di tempat tidur atau di hadapan rezeki.
6. Pastikan tidak di hadapan anak-anak kerana akan membuatkan mereka bingung, tertekan dan boleh menyebabkan mereka membuat andaian sendiri, bahawa ayah atau ibu mereka bersalah. Dan lagi, biasanya anak-anak tidak pandai menyimpan rahsia. Tidak mustahil perkara itu akan diceritakan kepada orang lain.
7. Sentiasa membatasi kesabaran. Jangan sesekali sehingga bertindak menggunakan fizikal. Seperti memukul, melemparkan barang-barang dan sebagainya kerana ia akan mendatangkan kesan yang lebih buruk, sedangkan masalah tidak juga selesai.
8. Jangan sesekali cuba menggunakan seks atau wang untuk membalas pertengkaran kerana cara ini akan menjadikan pertengkaran yang lebih hebat.
9. Jangan sesekali membiarkan emosi menguasai diri.
10. Mungkin anda tidak dapat menegakkan kebenaran atau tidak mampu memberikan hujah yang betul-betul kukuh. Itu bukan bererti anda tewas. Cuma anda perlukan sedikit waktu untuk membuktikan bahawa pendapat anda itu betul.
11. Jangan sesekali menganggap, pasangan anda dapat membaca apa yang terkandung dalam pemikiran anda. Jadi anda perlu luahkan dalam bahasa yang mudah dan jangan sesekali mengharapkan si dia akan mengerti apa yang anda maksudkan.
12. Ingat, anda dan pasangan adalah dua insan yang berbeza. Pasangan anda telah dibesarkan mengikut caranya sejak dari kecil. Anda bertemu dengannya setelah sama-sama dewasa. Jadi jangan sesekali anda cuba menjadikan dirinya sama seperti anda.
13. Selepas bertengkar, jangan biasakan diri suka menyendiri atau pun keluar meninggalkan pasangan. Tindakan begini tidak mendatangkan manfaat langsung dalam sebuah perkahwinan.
14. Selesai bertengkar, peluk pasangan anda seerat yang boleh. Ungkapkan perkataan maaf dan minta agar perkara begitu tidak akan berlaku lagi. Bertengkarlah jika ia boleh mendatangkan kebaikan yang akhirnya mampu menyelesaikan perselisihan. Selepas itu anda akan menjadi lebih mesra dan akrab.
No comments:
Post a Comment